Pada masa kini, kapasiti tapak pelupusan sampah kita semakin terhad. Lebih membimbangkan lagi timbul rungutan tentang pencemaran, resapan bahan kimia ke dalam sumber air bawah tanah dan isu-isu keselamatan yang berkaitan. Proses mengitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan-bahan yang sebelum ini dianggap sebagai sampah-sarap. Justeru, Pusat Pengajian Senibina Landskap (PPSL) tidak terkecuali mengambil langkah inisiatif iaitu pengumpulan kertas putih, kertas berwarna, surat khabar dan kadbod memandangkan bahan-bahan ini paling banyak didapati di persekitaran universiti dan persekitaran sekeliling. Bagaimanapun ianya dilakukan secara kreatif iaitu menggunakan bahan-bahan tersebut untuk dijadikan pakaian yang akan digunakan untuk tujuan kempen kesedaran alam sekitar dan penjagaan kehijauan. Bermula dari sinilah, timbul idea mengadakan program kempen 4R. Ianya bukan sahaja dapat memupuk kesedaran pelajar membudayakan amalan hijau tetapi dalam masa sama sebagai menunjukkan sokongan kepada seruan kerajaan untuk menjadikan negara yang mementingkan amalan kelestarian. 

Pemilihan lokasi bagi kempen 4R di Presint 5, Putrajaya kerana tempat ini sering menjadi tumpuan bukan sahaja pengunjung tempatan malahan juga menjadi tumpuan kepada pelancong luar. Secara tidak langsung program yang dijalankan ini dapat membantu menampilkan negara yang amat serius dalam mempromosi kempen kehijauan alam sekitar. Di sini pelajar berpeluang mendekati pengunjung dalam usaha mempromosi kepentingan penjagaan kehijauan alam sekitar melalui kitar semula barang terpakai.  Antara aktiviti program yang dijalankan iaitu perarakan pakaian ‘fancy’ dari barang-barang terpakai sambil memegang pelbagai sepanduk yang bertemakan kempen penjagaan alam sekitar seperti “Save Earth”, “Cintai Alam”, “Kitar Semula”, “Caring our Environment” dan sebagainya, persembahan muzik lagu-lagu berkaitan “hijau”, “flash mob”, gimik lakonan, drama pendek kesedaran hijau, permainan dari barang-barang terpakai dan sebagainya.

 

Untuk sebarang pertanyaan :
Dr Salina Mohamed Ali
Tel : 603-3258 6239
Hp : 019-554 3378